Cara belajar

Saya fikir cara yang paling baik untuk belajar bahasa Minang ialah dengan mendengar, melihat dan menulis bahasa ini. Saya tidak tahu cara orang lain,, tapi buat saya ini yang paling baik dan paling menarik terutamanya untuk orang yang belajar seorang diri. Maklumlah, di Malaysia ini bukan senag untuk mencari seorang penutur bahasa Minang.

Ya, walaupunsaya seorang Melayu dan bahasa Melayu dan bahasa Minang agak sama, tidak mudah buat seseorang itu mempelajari bahasa Minang kerana penggunaan bahasa itu masing-masing ada caranya tersendiri. Misalnya, bahasa Melayu banyak menggunakan imbuhan, dan beberapa kata bahasa Melayu yang piawai atau baku tidak terdapat pada bahasa Minang.

Mendengar

Saya banyak mendengar percakapan Minang. Ini tidak susah dalam zaman Internet kini. Saya sering mendengar radio Internet bahasa Minang (Radio Cimbuak). Jika saudara ingin belajar bahasa Minang (aau hanya mendengar lagu) radio ini merupakan sumber yang bagus. Lagi, Youtube juga membantu saya dengan video <em>pituah</em> (pidato), randai dan lagu-lagu Minang. Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat belajar irama atau alun percakapan Minang dan vokabulari, tapi juga cara kata-kata Minang itu disebut.

Lagi, di rantau saya ini, kadang-kadang dipengaruhi oleh bahasa Negeri Sembilan (disebut Nogoghi Sambilan) yang memang berasal daripada bahasa Minang tulen tetapi sudah berubah sedikit selepas berabad terpisah dari tanah Minang di Sumatera.

Melihat

Kedua, saya sering melihat (membaca) bahan-bahan Minang yang tertulis seperti artikel-artikel di Wikipedia bahasa Minang dan tapak-tapak serta majalah-majalah bahasa Minang di Internet.

Membaca (dan menyunting jika ada masa dan confidence) laman Wikipedia amat baik kerana ia mengandungi banyak rencana-rencana yang baik dari segi bahasa. Lagipun, ia percuma; bak kata pelopor Yayasan Perisian Bebas (Free Software Foundation) Richard Stallman, ia bebas dan percuma "seperti percakapan bebas, bukan bier percuma".

Hasil

Lama-lama, saya dapat menulis dengan lancar dan baik, tanpa perlu selalu melihat kamus lagi. Namun demikian, saya rasa bahasa Minang saya adalah "bahasa buku", bukan bahasa seharian (bahasa kolokial) yang ditutur oleh orang Minang. Mendapatkan Minang kolokial agak payah, kerana seperti yang saya katakan terdahulu, di Malaysia ini tidak ramai orang yang menutur bahasa Minang.

Lagi, saya rasa bahasa Minang saya masih mengandungi banyak "Malaysia-cism" kerana sudah tentu pengaruh bahasa Melayu, bahasa yang amat hampir dengan bahasa Minang, menyusup masuk kerana sudah menjadi kebiasaan apabila kita berfikir dalam bahasa Melayu.

Saya ada cuba membuat terjemahan cerita dari bahasa Inggeris ke bahasa Minang; suka-suka saja, sebagai latihan buat bahasa Minang saya.

Lihat di sebelah atas tapak ini dan klik saja pautan untuk membaca terjemahan cerita. Selamat membaca.

blogroll